Sep 3, 2008

Ramadhan oh Ramadhan

Setelah meninggalkan kita selama 11 bulan, membiarkan kita dalam keadaan alpa dengan noda dan dosa, Ramadhan kini datang lagi... Kali ini membawa ujian yang lebih mencabar lagi apabila umat Islam di Mesir menjalankan ibadah mulia ini di dalam musim panas... Tetapi inilah hakikat sebenar yang dibawa oleh Ramadhan; yang secara literalnya membawa maksud 'membakar' atau 'terlalu panas', menggambarkan pengorbanan yang perlu dilakukan oleh umat Islam dalam mendidik jiwa dan mengawal nafsu sepanjang hari di dalam bulan Ramadhan tanpa boleh makan, minum dan melakukan perkara-perkara yang dilarang.

Di sebalik lapar dan dahaga yang perlu dilalui oleh umat Islam sepanjang bulan kesembilan dalam kalendar hijrah ini, Ramadhan hakikatnya menyediakan satu madrasah tarbawiyah kepada umat Islam untuk melahirkan generasi yang berdisiplin dan mempunyai ketahanan diri yang kuat, disamping jiwa yang halus melalui program yang disediakan oleh Allah di dalam bulan mulia ini.

Umat Islam dilatih untuk menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang ketika berpuasa, seperti makan dan minum, memandang kepada perkara-perkara yang tidak elok, bercakap-cakap kosong dan mengumpat, sebagai persediaan untuk menghadapi 11 bulan berikutnya sebelum bermulanya proses latihan yang sama pada tahun hadapan.

Namun, penat lelah dan lapar dahaga umat Islam digantikan oleh Allah dengan tawaran istimewa pada bulan ini, ketika mana setiap amal kebaikan dilipatgandakan berbanding amalan yang dilakukan pada bulan-bulan sebelumnya. Maka umat Islam yang cerdik perlulah mengambil peluang ini untuk beramal semaksimum mungkin, agar segala pengorbanan yang dilakukan diimbangi dengan keuntungan yang berlipat ganda.

Bulan ini dianggap istimewa juga kerana mukjizat teragung Nabi Muhammad s.a.w. diturunkan pada bulan ini, berdasarkan firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud, "Bulan Ramadan ialah bulan di mana diturunkan Al-Quran padanya; menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah."

Satu lagi agenda penting yang hanya berlaku di dalam bulan Ramadhan sahaja ialah malam lailatul qadar; malam yang disifatkan oleh Allah di dalam surah al-Qadr sebagai lebih baik daripada seribu bulan.

Umat Nabi Muhammad s.a.w. yang rata-ratanya mempunyai umur yang singkat berbanding umat-umat terdahulu tidak sepatutnya melepaskan peluang keemasan ini, kerana mereka yang diberi anugerah oleh Allah untuk membangunkan malam ini akan diberi ganjaran seolah-olah dia telah hidup 1000 bulan, atau 83 tahun 4 bulan dalam ibadah. Ini sudah cukup untung! Beribadat semalaman pada malam ini sahaja sudah melebihi ibadat sepanjang hayatnya.

Andaikata jika peluang ini berjaya direbut oleh seseorang itu sekali setahun selama 30 tahun sepanjang hidupnya, dia ibarat hidup kira-kira 2500 tahun dalam ibadat! Inilah keuntungan beribadah di dalam Islam.

Satu lagi amalan yang tidak masyhur di kalangan kita pada hari ini ialah memberi makan kepada orang yang berbuka puasa. Nabi bersabda, “Siapa yang menyediakan makanan berbuka untuk orang puasa, dia akan dapat seperti pahalanya tanpa dikurangkan pahalanya sedikitpun.” (HR al-Tirmizi, Kitab al-Saum, No. 735)

Akhirnya, semoga Ramadhan kali ini tidak berlalu begitu sahaja, seperti mana Ramadhan-ramadhan kita yang lalu, yang sering kita kesalkan. Semoga Allah menjadikan kita muslim yang mukmin bertitik tolak dari Ramadhan kali ini. Wallahua’lam.


1 comment:

Anonymous said...

More on Ramadhan please =)