Jun 27, 2011

Perihal Tulang Rusuk

Sewaktu zaman saya masih lagi rajin membaca buku-buku cerita Islamik, saya pernah terjumpa satu kisah di zaman Umar Al-Khattab di mana timbul kekeliruan terhadap jantina seorang khunsa ini. Adakah dia lelaki atau perempuan. Maka diarahkan untuk dikira tulang rusuk si fulan ini, ternyata tulang rusuk kirinya hanya ada 11. Maka sahlah bahawa dia ini lelaki, kerana salah satu daripada 12 tulang rusuk kaum lelaki digunakan untuk mencipta kaum wanita.

Kebelakangan ini, sudah tersebar di blog-blog dan Facebook satu artikel yang menceritakan mengapa tulang rusuk Nabi Adam a.s. diambil ketika beliau sedang tidur. Dikatakan, jika ia diambil ketika sedar, pastilah Adam akan merasa sakit lantas membenci Hawa.

Saya kurang pasti dari mana mereka adaptasikan kisah ini. Jika ada satu hadis sahih yang menceritakannya, tidak mengapa, kerana tidak ada satu tempat pun di dalam al-Quran yang menyebutkan perihal ini. Tetapi apa yang saya risaukan ialah jika ianya diadaptasi dari kitab Bible yang terang-terang menceritakan kisah ini di dalam buku Genesis bab 2 ayat 21 dan 22:

"21 So the LORD God caused the man to fall into a deep sleep; and while he was sleeping, he took one of the man’s ribs and then closed up the place with flesh. 22 Then the LORD God made a woman from the rib he had taken out of the man, and he brought her to the man."

Seindah mana pun pengajaran yang boleh diambil daripada kisah tersebut, umat Islam tidak boleh berkompromi dalam hal ini. Ayat al-Quran atau hadis sahih mestilah menjadi sumber rujukan, agar unsur Israiliyat tidak sewenang-wenangnya dicampur aduk dan diadaptasi menjadi hikayat Islam. Lebih-lebih lagi jika ia bertentangan dengan fakta saintifik yang konkrit.

Kisah Umar al-Khattab yang saya sebut di atas contohnya, sangat tidak bertepatan dengan anatomi manusia, kerana semua manusia normal mempunyai 12 rusuk di sebelah kiri dan 12 rusuk di sebelah kanan, tidak kira lelaki atau perempuan.

Ramai para ulamak yang berselisih pandangan, adakah ianya kiasan sahaja atau memang benar Hawa dicipta dari tulang rusuk Adam. Boleh dengar perbahasannya di sini oleh Dr. Maza.



Pihak pejuang feminisme hari ini ramai yang mempersoalkan, mengapa Islam merendahkan martabat wanita dengan menyamakan mereka dengan tulang rusuk yang bengkok? Bagi mereka, ini adalah satu penghinaan!

Maka sebagai langkah berhati-hati, pemilihan kata amatlah penting. Bagaimana jika kita gantikan perkataan 'bengkok' tersebut dengan perkataan 'melengkung'?

Perkataan melengkung kurang offensive berbanding bengkok, dan amat relatif sifatnya. Jika tulang rusuk anda patah, adakah anda akan menggantikannya dengan tulang rusuk lain yang tegak?

Tidak. Kerana sifat melengkung itu menepati maksud kesempurnaan dalam konteks ini, bukan sebaliknya.

:)

No comments: