Khutbah Jumaat di masjid bersebelahan dengan Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah, Mesir pada 15 Jun 2007 menceritakan tentang kedudukan orang miskin di dalam agama Islam.. Walaupun Islam tidak berkenan dengan kemiskinan umatnya serta menyifatkan kefakiran sebagai perkara yang hampir dengan kekufuran, namun Islam tidak pula memandang hina terhadap umatnya yang diuji dengan ujian kekurangan harta benda..
Nabi pernah berdoa agar dirinya dihidupkan dalam keadaan yang miskin.. Dipulangkan ke pangkuan Ilahi dalam keadaan yang miskin.. Dibangkitkan bersama-sama golongan yang miskin.. Namun ini tidak bermakna Islam menghalang umatnya daripada menjadi kaya serta memerintahkan mereka agar hidup dalam belenggu kemiskinan..
Ini adalah kerana miskin di dalam hadith ini, sepertimana yang dijelaskan oleh Sheikh Salih Al-Munjid, bukanlah bererti kekurangan harta.. Perkataan miskin dalam bahasa Arab lebih membawa maksud zuhud, qana'ah dan tidak cintakan dunia.. Perkataan yang lebih sesuai untuk menyifatkan kekurangan harta adalah fakir. Kerana itulah Nabi sentiasa berdoa agar dirinya dijauhkan daripada kekufuran dan kefakiran..
Hampir-hampir kefakiran itu membawa kepada kekufuran.. Ya, benar.. Mana tidaknya, kefakiran kadangkala memaksa seseorang itu untuk menjadi tidak amanah.. Lebih-lebih lagi hidup di zaman yang penuh fitnah ini.. Hukum luqatah* sudah pasti tidak akan ditunaikan haknya.. Hati tidak rasa bersalah ketika mengambil wang baki yang dipulangkan lebih daripada yang sepatutnya.. Hak-hak sesetengah pihak pasti dizalimi jika disogok oleh jumlah wang yang pasti menjamin kesenangan hidup.. Mulut akan terkunci daripada kebenaran kerana takut hilangnya habuan duniawi..
Kesemua perbuatan tidak bermoral ini sudah tentu tidak akan berlaku kepada orang mukmin yang kaya, dengan syarat dia mestilah sentiasa berasa cukup dengan apa yang ada.. Orang kaya yang tamak sentiasa tidak rasa cukup dengan apa yang sudah dimilikinya.. Lembah harta kedua pasti diidamkannya setelah memiliki lembah harta pertama.. Ini adalah penyakit hati.. Penyakit hati ini boleh diubati dengan membelanjakan harta ke jalan Allah.. Sedekah, zakat, wakaf dan sebagainya..
Di zaman Nabi dahulu, bukan tidak ada orang Islam yang kaya.. Isteri Nabi Khadijah merupakan seorang 'bisneswoman' yang berjaya jika hendak dinisbahkan dengan zaman sekarang.. Namun beliau adalah wanita syurga..
Sahabat Nabi, Abdul Rahman bin Auf juga seorang hartawan di zaman itu.. Namun beliau merupakan salah seorang yang dijanjikan syurga oleh Nabi selain 9 orang sahabat yang lain.. Rahsianya, mereka tidak kedekut dalam membelanjakan harta mereka ke jalan Allah..
Tidak seperti Qarun sepertimana yang diceritakan di dalam surah Al-Qasas ayat 76.. Sudahlah kedekut, berlagak pula.. Mengaku bahawa kesemua harta yang dimilikinya itu datang dari usaha serta kepandaiannya sendiri.. Walaupun dia memiliki harta yang banyak, namun sedikit pun tidak mendapat tempat di sisi Allah.. Malah ditenggelamkan pula harta-hartanya ke dalam bumi..
Jikalau hendak menjadi orang yang berjaya, maka peliharalah hati dari sifat bakhil.. "Dan barangsiapa yang menjaga dirinya dari sifat kedekut, maka merekalah orang yang berjaya.." Surah Al-Hasyru ayat 9.
No comments:
Post a Comment