Cat Stevens atau lebih dikenali sebagai Yusuf Islam pada suatu masa pernah berkata, "Cara hidup barat serta pegangan hidup mereka ibarat sebuah kapal yang sedang karam, dan umat Islam kini sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya.."
Ya benar. Gaya hidup Barat memang menyeronakkan. Apa tidaknya, mendedahkan aurat, pergaulan bebas antara lelaki dan wanita, arak, seks bebas, homoseksual... Semuanya selari dengan keinginan hawa nafsu. Yang peliknya, umat Islam zaman ini tidak segan silu, malah berbangga mengikut jejak langkah Barat serta menganggap mereka yang tidak meingikutinya sebagai kolot dan ketinggalan zaman..
Tidak pelik zaman sekarang jika anak Melayu yang beragama Islam mendedahkan aurat, berpegang-pegang tangan antara lelaki dan wanita dan sebagainya.. Masyarakat Melayu kita sudah tidak hairan dengan fenomena ini. Mereka seolah-olah meredhai perkara ini..
Tiada teman lelaki atau wanita dianggap janggal di kalangan remaja. Sudah ada teman lelaki atau wanita, diupload pula gambar mereka di dalam Friendster dan sebagainya dengan perasaan bangga tanpa rasa bersalah. Sudah ada teman lelaki atau wanita, tidak sah jika tidak keluar bersama. Kadangkala perhubungan dibina bukan atas dasar cinta atau niat untuk berkahwin. Hanya sekadar cukup syarat atau main-main sahaja. Biar orang lain tidak melabelnya sebagai tidak laku atau tidak cool.
Nabi Muhammad s.a.w. di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim pernah menyatakan bahawa umat Islam akan datang akan mengikuti jejak langkah golongan Yahudi dan Kristian sedikit demi sedikit, sehingga jika mereka masuk ke dalam lubang Dhab pun, umat Islam akan mengikuti mereka tanpa berfikir terlebih dahulu.
Bilakah zaman kegemilangan Islam akan kembali jika perkara ini terus-menerus berlaku? Tambah menyedihkan lagi apabila golongan tersebut bukanlah golongan orang awam yang tidak faham hukum-hakam Islam. Pelajar jurusan agama serta para penghafaz Al-Quran juga tidak terkecuali!
Keseronokan gaya hidup Barat pada hari ini sebenarnya ibarat candu. Keseronokannya hanyalah bersifat sementara. Namun, implikasi buruknya amatlah besar selepas berlalunya tempoh keseronokan tersebut.
Umat Islam zaman ini amat dahagakan pemuda yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan sehariannya. Mereka yakin bahawa kebahagiaan serta kejayaan hidup hanyalah di dalam Islam.
Jika pemuda yang diharap-harapkan ini bukan kita, maka siapa lagi?
No comments:
Post a Comment