Generasi yang diharap-harapkan pada hari ini adalah generasi umat Islam yang sebati jiwanya dengan Al-Quran.. Kekuatan serta kemuliaan sesuatu bangsa itu hanyalah bergantung kepada sejauh mana bangsa tersebut menghayati serta berpegang teguh kepada ajaran serta isi kandungan Al-Quran.
Al-Quran merupakan kitab terakhir dan teragung yang pernah diturunkan di atas muka bumi ini. Ianya merupakan kesinambungan dari kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya. Jika orang Kristian menggelarkan Taurat mereka sebagai "The Old Testament" dan Injil mereka sebagai "The New Testament", maka kita katakan Al-Quran merupakan "The Last Testament", kitab yang terkandung di dalamnya penyelesaian terhadap semua masalah umat manusia. Kerana itulah Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 185 menggunakan perkataan "Hudal linnas" (petunjuk kepada umat manusia) dan bukannya "Hudal lilmukminin" (petunjuk kepada orang-orang beriman sahaja).
Generasi Al-Quran tidak hanya terhad kepada mereka yang menghafal Al-Quran sahaja. Malah ianya umum kepada mana-mana umat Islam yang melazimi bacaan Al-Quran, mempelajari ilmu tajwid, memelihara adab-adabnya, menyingkapi tafsir serta huraiannya, menghayati isi kandungannya dan mempraktikkan ajaran yang terkandung di dalamnya.
Tidak rugi menjadi generasi Al-Quran.. Di dalam kisah Nabi Sulaiman a.s. dengan jin Ifrit yang disebutkan dalam surah An-Naml ayat 39 dan 40, jin ifrit berjanji akan membawa mahligai Balqis ke hadapan Nabi Sulaiman sebelum beliau sempat bangun dari tempat duduk beliau. Namun seorang lelaki yang dikatakan mempunyai ilmu tentang kitab, dapat berbuat lebih dari itu.. Lelaki tersebut menjanjikan untuk membawa mahligai tersebut sebelum Nabi Sulaiman sempat mengelipkan mata beliau..
Di dalam surah At-Taubah ayat 30 pula, Allah mengutuk golongan Yahudi kerana mereka mendakwa bahawa Uzair merupakan anak Allah.. Di dalam Tafsir Hadaaiq Ar-Ruh Wa Ar-Raihan, dinyatakan bahawa punca dakwaan itu adalah kerana Uzair merupakan insan terpilih yang dianugerahkan Allah penghafalan kitab Taurat yang telah hilang diangkat oleh Allah setelah mana kaum Yahudi membunuh para nabi selepas Nabi Musa a.s. untuk diajarkan kepada kaum Yahudi. Kemudian Allah mengembalikan kitab Taurat yang telah hilang itu kepada mereka setelah Uzair berhijrah ke tempat lain. Setelah kaum Yahudi mendapati bahawa isi kandungan Taurat itu sama seperti apa yang diajarkan oleh Uzair, mereka berkata, "Tidak tersimpan kitab Taurat di dada Uzair melainkan kerana dia merupakan anak Allah."
Dua kisah ini merupakan antara kelebihan mereka yang mendalami sertamenghayati kitab-kitab yang diturunkan sebelum Al-Quran, sehinggakan Uzair diangkat oleh kaum Yahudi sebagai anak Allah, hanya kerana beliau menghafal isi kandungan kitab taurat. Maka bayangkanlah kelebihan yang Allah bakal anugerahkan kepada mereka yang menghafal, memahami serta berpegang teguh dengan isi kandungan Al-Quran yang semestinya lebih agung dan sempurna berbanding kitab-kitab yang lain.
Mukjizat Al-Quran terserlah sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan zaman kegemilangan para penyair arab ketika itu, ketika mana ketinggian gaya bahasa Al-Quran mampu menawan hati mereka, sehinggalah hari ini; zaman di mana sains dan teknologi mendominasi dunia, ketika mana fakta saintifik dibuktikan selari dengan apa yang disebutkan di dalam Al-Quran.
Malangnya, umat Islam hari ini hanya tahu mengambil fakta saintifik yang ditemui oleh para saintis barat lalu memadankannya dengan mana-mana ayat Al-Quran yang sepadan, namun tidak mampu mengestrak sendiri ayat Al-Quran untuk dijadikan hipotesis kepada satu kajian saintifik, seterusnya membuktikan kebenaran faktanya kepada dunia luar.
Jadikanlah apa yang dikatakan oleh Wafa Sultan, seorang penentang kuat Islam, sebagai satu cabaran untuk menjadi umat Islam yang terkehadapan dalam semua bidang, “Mereka (Kristian dan Yahudi) bukanlah Ahli Kitab. Mereka adalah Ahli Kutub (kata jamak). Buku-buku sains yang ada di hadapan kamu wahai umat Islam adalah buku-buku yang ditulis oleh mereka, dan bukannya kamu.”
Maka dalam tujuan merealisasikan matlamat ini, umat Islam perlulah cuba sedaya upaya untuk menjadi generasi Al-Quran yang cemerlang serta bersungguh-sungguh memartabatkan Islam agar tidak dipandang remeh oleh masyarakat dunia pada hari ini.
Baca dan hayatilah Al-Quran sepanjang masa.. Di samping beroleh ganjaran pahala yang tidak terkira banyaknya, Al-Quran juga menjadi penyembuh kepada hati yang keras serta jauh dari Allah Taala, sepertimana yang disebutkan di dalam surah Al-Israk ayat 82. Janganlah kita tinggalkan bacaan mukjizat teragung milik Nabi Muhammad s.a.w. ini, bimbang Allah akan menjauhkan diri-Nya daripada kita, seterusnya menjadikan hati kita buta serta tertutup daripada menerima kebenaran.
1 comment:
Terima kasih saudara Effy, kerana post anda inilah, saya akhirnya mendapat tahu kisah Nabi Uzair. Apabila mmbaca kisah baginda, terdetik dlm hati saya, "Ya Allah, bodohnya kaum yahudi... Semudah itu mereka membuat keputusan...".
Saya seorang "pelajar melayu islam yg belajar di Timur Perancis dan apabila semakin jauh dari bumi islam, makin byk pula ilmu islam yg sy pelajari.
Sebenarnya, kali pertama saye mndpt tahu akan kewujudan Nabi Uzair adalah slps mmbca senarai nama nabi dlm tafsir al-quran berbahasa inggeris.
Lebih menarik lagi, Ezra (Uzair in english) adalah nama seorg teman kuliah saya berbangsa Quweit yg dikurniakan Allah dgn kecantikan.
Saya teringin juga menamakan bkl anak saya kelak "Ezra", sebelum itu, ingin saya ketahui kisah nabi terbabit.
Terima kasih saudara.
Post a Comment