Apr 1, 2011

April Fool sunat

http://www.kloonigames.com/blog/wp-content/uploads/2008/03/april_fools_day.jpg

Dah menjadi tradisi, setiap 1 April saya akan menulis tentang April Fool.

Pada tahun 2009, saya melahirkan rasa skeptik terhadap cerita yang direka-reka mengenai April Fool, kononnya umat Islam dibunuh beramai-ramai, semata-mata untuk menghalang umat Islam daripada meraikan April Fool dengan tipu daya dan prank. Sedangkan cukup saja jika kita katakan April Fool haram kerana tipu itu berdosa dan bertentangan dengan nilai-nilai Islam. LINK

Pada tahun 2010, saya ketengahkan satu isu di mana umat Islam di'April Fool'kan orang Islam sendiri, melalui fakta-fakta palsu yang direka, bertujuan menambahkan kebencian yang tidak relevan kepada orang bukan Islam. LINK

Tahun 2011 ini, saya ingin berkongsi mengenai isu 'bohong yang dibenarkan di dalam Islam'.

Orang Melayu kita panggil 'tipu sunat'.

Menurut sebuah hadis riwayat Tirmizi, Nabi s.a.w menyenaraikan 3 keadaan yang dihalalkan berbohong:

1) Seorang suami yang ingin menggembirakan isterinya.

Si isteri masak tak berapa sedap. Tapi kalau cakap nanti, bimbang kecil hati pulak. Lalu si suami cakap, "Emmmm sedapnya masakan ayang!" Walaupun menipu, tetapi menipu jenis ini dibenarkan.

Atau si isteri mengadu sudah gemuk. Lalu si suami memujuk, "Eh, mana ada. Ayang masih nampak slim lah~" Ini terang-terang satu pembohongan, tapi demi menjaga hati isterinya, ia dibenarkan, malah mungkin juga dapat pahala menjaga keharmonian rumah tangga.

2) Helah atau strategi peperangan

Ini sudah obvious melalui contoh-contoh taktik Nabi s.a.w. dalam beberapa peperangan. Jika umat Islam masih berkeras untuk 'jujur' dan 'berkata benar' dalam peperangan, alamatnya mudah-mudahlah dikalahkan musuh ;p

3) Untuk mendamaikan dua pihak yang bertelagah

Si C, sebagai pihak ketiga, mereka-reka cerita yang kononnya si A beritahu yang dia sebenarnya sayangkan si B, dan si B sebenarnya sangat hormatkan si A. Sedangkan mereka benci antara satu sama lain.

Ini satu pembohongan, tetapi perlu untuk mendamaikan 2 pihak yang bergaduh. Selari dengan ayat surah Al-Hujurat ayat 10, "Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua saudaramu..."

****

Dalam sebuah hadis lain juga, Nabi s.a.w. memberitahu bahawa Nabi Ibrahim s.a.w. tidak pernah berbohong melainkan 3 kali:

1) "Sesungguhnya aku sakit." (Surah As-saaffaat ayat 89), sedangkan beliau tidak sakit ketika itu. Tetapi sebagai helah untuk tinggal di rumah sementara kaumnya semua ke kota untuk meraikan satu perayaan, kerana beliau ingin memecahkan berhala-berhala kaumnya.

2) Ketika ditanya siapakah yang memecahkan berhala, beliau menjawab, "Sebenarnya patung yang besar itu yang melakukannya..." (Surah al-Anbiyak ayat 63), sedangkan beliau yang memecahkannya sendiri. Tetapi ini dilalukan secara sarkastik, untuk membuatkan kaumnya berfikir.

3) Ketika Nabi Ibrahim berpesan kepada isterinya Sarah supaya mengaku sebagai saudara perempuannya kepada seorang pemerintah zalim, atas sebab-sebab keselamatan. (Kan saudara seagama)

****

Orang yang menipu untuk bersuka-suka atau sebagai prank untuk menjatuhkan maruah orang lain, hukumnya HARAM dan berdosa.

“Kecelakaan ke atas sesiapa yang menipu untuk menghiburkan manusia, kecelakaan ke atasnya, kecelakaan ke atasnya.” [HR Abu Daud, at-Tirmizi, dan an-Nasai’e]

Jadi, jangan sambut April Fool dengan prank orang ya. Berdosa..

No comments: