Dec 3, 2008

Korban Nabi Ibrahim: Ismail atau Ishak?

Agama Kristian dan Islam adalah dua agama Samawi yang hampir sama, tapi tidak serupa. Terdapat banyak aspek yang bersamaan di dalam kedua-dua agama yang mempunyai pengikut paling ramai dunia ini. Salah satu daripadanya ialah umat Islam dan Kristian kedua-duanya percaya kepada kisah korban Nabi Ibrahim a.s.

Namun di sebalik persamaan di antara kedua-dua kisah ini, orang-orang Kristian tidak berpegang kepada kepercayaan bahawa Nabi Ismail adalah anak Nabi Ibrahim yang terpilih untuk dikorbankan di dalam kisah ini.


Kisah Korban Nabi Ibrahim

Apabila kita buka kitab Bible, kita boleh dapati kisah korban Nabi Ibrahim tercatat di dalam Genesis bab 22 ayat 1 hingga 13:

"Beberapa hari kemudian, Tuhan ingin menguji Ibrahim. Dia berkata, "Wahai Ibrahim." "Saya di sini," jawab Ibrahim. "Ambillah anakmu, anak tunggalmu, Ishak, yang kamu sayangi, dan bawalah dia ke kawasan Moriah. Korbankanlah dia di atas salah satu bukit yang Aku akan beritahu kamu kemudian."

...Tetapi datang malaikat dari langit menyeru, "Wahai Ibrahim." "Saya di sini," jawab Ibrahim. "Janganlah kamu mengapa-apakan anakmu itu. Sekarang aku sudah tahu bahawa kamu takutkan Tuhanmu kerana kamu sanggup mengorbankan anak tunggalmu." Ibrahim kemudiannya memandang ke atas dan melihat seekor biri-biri telah menggantikan anaknya. Beliau kemudiannya menyembelih biri-biri itu sebagai korban menggantikan anaknya."


Al-Quran pula merekodkan kisah korban Nabi Ibrahim ini di dalam surah as-Saaffaat ayat 101-107, tetapi bezanya bukan Ishak yang dikorbankan, sebaliknya Ismail.

"Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar. Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar". Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar."



Ismail atau Ishak?

Apabila kita bertanya kepada mana-mana pakar agama Kristian, siapakah yang digantikan oleh Allah dengan kambing biri-biri tersebut? Mereka akan beritahu kita bahawa orang tersebut ialah Ishak; anak tunggal Ibrahim berdasarkan ayat daripada Genesis 22:2 "Ambillah anakmu, anak tunggalmu, Ishak, yang kamu sayangi, dan bawalah dia ke kawasan Moriah."

Tetapi apabila kita perhatikan dalil-dalil daripada Bible, kita akan dapati bahawa Ishak bukanlah anak tunggal Ibrahim pada waktu itu, dan kita dapati bahawa sebenarnya Ismail telah dilahirkan jauh lebih awal daripada Ishak. Saya merujuk Genesis 16:15-16

"Lalu Hajar pun melahirkan seorang anak lelaki kepada Ibrahim, dan Ibrahim menamakan anak itu Ismail. Ibrahim berumur 86 tahun ketika Hajar melahirkan Ismail."

Kitab Bible secara terang menyatakan bahawa Ibrahim berumur 86 tahun ketika Ismail dilahirkan, sedangkan di dalam bab 21 daripada buku yang sama, ayat 5 dinyatakan:

"Ibrahim berumur 100 tahun ketika Ishak dilahirkan."

Saya ingin bertanya, jika Ismail dilahirkan ketika Ibrahim berumur 86 tahun dan Ishak dilahirkan ketika Ibrahim berumur 100 tahun, tidakkah ini menunjukkan bahawa Ismail lebih tua daripada Ishak? Jika begitu, mengapa kitab Bible menyifatkan Ishak sebagai anak tunggal sedangkan beliau mempunyai abang pada waktu itu?

Orang-orang Kristian akan menjawab kerana mereka hanya mengiktiraf Sarah (ibu kepada Ishak) sebagai isteri Ibrahim yang sah, sedangkan Hajar (ibu kepada Ismail) hanyalah seorang gundik kepada Ibrahim.

Apabila kita tanya mereka dari manakah mereka dapat tahu bahawa Hajar hanyalah gundik Ibrahim, mereka akan memberikan dalil dari Genesis bab 16 ayat 3; sedangkan perkataan 'gundik' di dalam ayat tersebut tidak lagi dijumpai, kerana ianya telah lama diubah oleh pakar Bible mereka sendiri kepada perkataan 'Isteri':

"Kemudiannya Sarah, isteri Ibrahim menjadikan orang suruhannya, Hajar yang berbangsa Mesir sebagai ISTERI kepada Ibrahim."

Mungkin ada yang akan mengatakan bahawa hal ini berlaku kerana kitab Bible tidak membeza-bezakan antara gundik dan isteri, kerana sistem pada waktu itu menganggap bawaha isteri dan gundik sebagai satu benda yang sama, berdasarkan ketidak-konsistenan Bible dalam menyifatkan Keturah, kandangkala sebagai gundik (berdasarkan 1 Chronicles 1:32) ~ "Berikut adalah senarai anak yang dilahirkan oleh Keturah, gundik kepada Ibrahim..." dan kadangkala sebagai isteri (berdasarkan Genesis 2:1) ~ "Ibrahim menjadikan seorang lagi sebagai isteri, yang bernama Keturah."


Tetapi perkara ini tidak benar sama sekali, kerana di dalam 1 Kings 11:3, kitab Bible dengan jelas menyatakan bahawa Sulaiman mempunyai 700 orang isteri dan 300 orang gundik. Jika benar Bible tidak membeza-bezakan antara gundik dan isteri, mengapa tidak disebutkan saja bahawa Sulaiman mempunyai 1000 orang gundik / 1000 orang isteri tanpa perlu membeza-bezakan antara kedua-duanya? Maka hujah mereka yang mengatakan bahawa Ismail bukan anak sulung Ibrahim tidak boleh diterima pakai.


Versi Islam

Kisah korban Nabi Ibrahim menurut agama Islam yang disebutkan di dalam Surah as-Saaffaat ayat 101-107 tidak menyebutkan dengan jelas tentang siapakah anak yang diperintahkan kepada Ibrahim untuk disembelih. Namun majoriti ulamak berpendapat bahawa Ismail adalah anak yang dimaksudkan di dalam Al-Quran, berdasarkan beberapa aspek yang perlu diambil kira, seperti aspek gaya bahasa Al-Quran dan sebagainya.

Kedua-dua pendapat; sama ada Ismail atau Ishak, mempunyai hujah yang sama kuat. Maka para ulamak tidak menetapkan kewajipan untuk mempercayai sama ada Ismail atau Ishak yang dimaksudkan oleh Allah di dalam al-Quran.

Berkenaan hadis Nabi, "Aku adalah keturunan kepada dua calon korban (iaitu Abdullah bapa baginda dan Nabi Ismail)," kebanyakan ulamak mengatakan bahawa hadis ini sangat lemah sehingga ada yang menyatakan bahawa ianya hadis palsu yang tersebar di kalangan umat Islam.

Pengarang kitab Tafsir Hadaaiq ar-Ruh wa ar-Raihan menulis dalam penutup kisah korban Nabi Ibrahim ketika menafsirkan ayat surah as-Saaffaat, "Allah lebih mengetahui siapakah individu yang dimaksudkan. Sesiapa pun mereka, kedua-dua nabi itu adalah suci dan taat kepada Tuhan mereka."

2 comments:

Anonymous said...

jadi siapa sebenarnya?kire Islam menyatakan tak penting tahu siape,,yang penting kedue2 nye taat kepada Allah?hermm,,leh ellaborate lagi??tak puas,,n ana sronok n ingin tahu,,,thanks

Effy Saiful said...

majoriti ulamak berpendapat bahawa Ismail adalah anak yang dimaksudkan di dalam Al-Quran, berdasarkan beberapa aspek yang perlu diambil kira, seperti aspek gaya bahasa Al-Quran dan sebagainya..

harap menjawab persoalan..