Umat Islam memang senang di-Aprilfool-kan.
Bila baca asal usul perkataan Pikachu ialah pick-a-jew, mudah-mudah je percaya.
Bila baca tak boleh tulis 'Salam' sebab maksudnya ialah 'kecelakaan', semua percaya.
Bila baca tak boleh sebut 'mosque' sebab berasal daripada perkataan 'mosquito', disebar-sebarkan cerita tu.
Bila baca haram sambut April Fool sebab meraikan sejarah umat Islam dibunuh beramai-ramai, ramai juga yang terus terima tanpa usul periksa.
Bukankah dosa sebab menipu itu sahaja sudah cukup untuk umat Islam menjauhinya? Mengapa perlu menakut-nakutkan orang dengan cerita sejarah yang entah betul entah tidak?
Tak ramai tahu, yang Nabi s.a.w. juga pernah 'trolling' (bergurau) bersama sahabat-sahabat beliau. Tapi bezanya, apa yang diucapkannya semuanya benar. Tiada unsur penipuan, tiada unsur mengaibkan, dan tiada unsur menyakiti.
Ingatkah kisah seorang wanita tua yang menangis setelah Nabi memberitahunya tiada orang tua yang masuk syurga? Namun setelah diberitahu apa yang dimaksudkan Nabi ialah semua yang masuk syurga akan diubah menjadi muda perawan, maka wanita itu pun tertawa.
Begitu juga seorang wanita yang menjadi hairan ketika Nabi menyifatkan suaminya sebagai 'yang ada keputihan di matanya'? (Sclera kan warna putih).
Atau kisah seorang lelaki badwi bernama Zahir r.a. yang dipeluk oleh Nabi dari belakang sambil berkata, "Siapa yang ingin membeli hamba ini?" (Kita semua kan hamba Allah).
Dan juga kisah seorang lelaki dewasa yang pelik ketika dipelawa Nabi untuk menunggang 'anak unta betina'? (Semua unta dewasa dahulunya adalah anak unta betina juga).
Maka siapa kita untuk memutuskan haram secara total untuk bergurau sesama sahabat kita?
:)
*Berbeza dengan 'pranking'. Seorang lelaki pernah bergurau dengan sahabatnya dengan menyembunyikan kasutnya, lalu Nabi berkata, “Janganlah menakut-nakutkan seseorang Muslim, kerana perbuatan itu adalah satu kezaliman.”
***
Jemput baca:
Entri April Fool 2009
Entri April Fool 2010
Entri April Fool 2011
No comments:
Post a Comment