Showing posts with label ramadhan. Show all posts
Showing posts with label ramadhan. Show all posts

Aug 2, 2011

Hamba Ramadan



Apabila datang Ramadan, jiwa-jiwa yang masih ada sekelumit iman akan tunduk hormat kepada tetamu agung ini.

Yang tidak rajin ke masjid, akan cuba gagahkan diri melangkah ke masjid untuk berterawih. Yang tak pernah buka al-Quran akan meletakkan target khatam. Mereka yang bakhil pun akan berlembut hati mengeluarkan sedekah.

Inilah yang dimaksudkan dengan "dibuka pintu-pintu syurga" dalam sebuah hadis yang menyebutkan kelebihan kedatangan bulan Ramadan, menurut para ulamak. Hati-hati manusia akan lebih cenderung kepada ketaatan, maka pintu syurga akan terbuka untuk mereka.

Juga, mereka yang merokok, terpaksa berhenti sebentar. Yang kuat marah akan jadi lebih sabar. Yang tidak bertudung, akan menutup kepala. Artis-artis seksi pun turut sama keluarkan kenyataan akan berpakaian sopan, demi menghormati bulan puasa.

Inilah juga yang dimaksudkan dengan "ditutup pintu-pintu neraka, dan syaitan akan dirantai." Hati-hati manusia akan lebih cenderung untuk tidak melakukan maksiat, maka pintu neraka akan tertutup buat mereka.

Namun usaha ini perlu diteruskan walaupun setelah berlalunya bulan puasa. Kerana kita hamba Allah, bukan hamba Ramadan.

Selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak :)

Jul 30, 2011

Menjamu orang berpuasa




Jika nak pahala extra di bulan puasa, berilah makan kepada mereka yang berbuka puasa. Ganjarannya besar. Nabi s.a.w memberitahu pahalanya sama dengan pahala orang yang berpuasa. (HR Tirmizi)

Setiap kali datang bulan Ramadan, abah akan pastikan anak2nya keluarkan duit seorang sedikit untuk beli barang2 seperti beras, kicap, susu, gula dll, untuk diberi kepada keluarga terdekat untuk bekalan bulan puasa; kerana sedekah yang terbaik adalah sedekah kepada ahli keluarga. (HR Muslim)

"Orang (yang bersedekah kepada kerabatnya) mendapat dua pahala; pahala hubungan silaturahim dengan kerabatnya dan pahala sedekah itu sendiri." (HR Bukhari dan Muslim serta al-Nasa'i dan at-Tirmizi)

Budaya memberi juadah berbuka sangat kuat di Mesir. Tidak cukup dengan Maidah ar-Rahman (menjamu orang2 miskin beramai2), kadang2 mereka mengupah budak2 kecil untuk mengedar bungkusan makanan kepada kereta2 yang terperangkap dalam traffic jam pada waktu maghrib.

Orang yang memasakkan makanan berbuka pun dikira menjamu orang yang berpuasa juga.

Allah tak pandang besar atau kecil sumbangan kita. Masing2 menyumbang mengikut kemampuan sendiri. Yang penting ikhlas.

Tetamu agung akan datang esok. Apa persiapan kita? :)

Jul 29, 2011

Fasting 101



Puasa adalah satu ibadah yang unik.

Dalam sebuah hadis Qudsi riwayat Bukhari dan Muslim, Allah menyatakan bahawa semua amalan manusia adalah untuk diri mereka sendiri, kecuali puasa. Puasa adalah untuk Allah dan Allah akan personally beri ganjaran kepada mereka yang berpuasa.

Walaupun hakikatnya semua amal ibadat diberi ganjarannya oleh Allah, tetapi Dr. Yusuf Qardawi menyebut bahawa puasa dinisbahkan kepada Allah untuk menunjukkan kemuliaan puasa.

Ganjaran ibadat juga ada darjat-darjatnya. Ada yang dibalas setimpal sahaja. Ada yang digandakan 10, atau 700. Tetapi ganjaran puasa tiada hadnya, sama seperti ganjaran sabar yang disebutkan dalam surah Az-Zumar ayat 10.

Puasa juga adalah ibadah yg boleh disebutkan kepada orang lain, dan tidak dikira riyak. Jika kita dimaki atau dicerca ketika sedang berpuasa, kita diingatkan supaya bersabar dan berkata, "Aku sedang berpuasa."

Tetapi ibadah lain seperti qiamullail & sedekah perlu disembunyikan, dan tidak boleh diwarwarkan kepada orang ramai, e.g "Malam tadi aku qiamullail."

Latihlah diri mulai sekarang untuk mengawal nafsu bercakap, bimbang2 bila banyak bercakap banyaklah salahnya. Bila banyak salah, maka jadilah puasa kita lapar dan dahaga sahaja.

Selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak :)

Aug 26, 2010

Nuzul Quran - 17 atau 21 Ramadan?

http://nikillas.files.wordpress.com/2008/09/4996519_52a0317da2.jpg

Nuzul Quran bererti hari diturunkan al-Quran. Dan ia bertepatan dengan hari kerasulan Nabi kita s.a.w.

Selain Selangor, ada beberapa negeri yang turut memperingati nuzul Quran dengan memberi cuti kepada pekerjanya seperti Kelantan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, dan Terengganu. Selain negeri-negeri ini, seperti saya orang Johor, tidak bercuti sebab kami dah ambil cuti awal Ramadan (which makes more sense, i think.. hehe no offense)

Kebanyakan orang termasuklah kita rakyat Malaysia sendiri, berpendapat bahawa Nuzul Quran jatuh pada 17 Ramadan setiap tahun. Namun pada Ramadan kali ini, mari kita anjak sedikit paradigma kita dan lihat apa pula pendapat Sheikh Safiyurrahman Al-Mubarakfuri, pengarang kitab sirah terkenal "Ar-rakheeq Al-Makhtum" mengenai hal ini. 

[Terjemahan m/s 66 terbitan Darul Muayyid, Riyadh] :

"Para ilmuan berselisih mengenai hari dimana Al-Quran pertama kali diturunkan di bulan Ramadan, iaitu sama ada pada hari ke-7, 17 atau 18.

Kami cenderung untuk menyatakan bahawa ianya jatuh pada hari ke-21, walaupun kami tidak pernah mendengar siapa2 yang berpendapat sedemikian.

Hal ini kerana kebanyakan ahli sirah telah sepakat bahawa Nabi diutuskan pada hari Isnin, dan ini disokong oleh hadis daripada Abi Qatadah r.a. bahawa Nabi s.a.w. pernah ditanya tentang dirinya yang berpuasa pada hari Isnin. Maka Nabi menjawab, "Kerana padanya aku dilahirkan, dan padanya juga (al-Quran) diturunkan kepadaku." [HR Muslim, Ahmad, al-Baihaqi, al-Hakim]

Dan hari Isnin pada bulan Ramadan tahun kenabian tidak jatuh melainkan pada hari ke-7, 14, 21 dan 28.

Dan banyak riwayat2 sahih menyatakan bahawa lailatul qadar hanya berlaku pada malam ganjil sepuluh malam terakhir. Dan al-Quran itu diturunkan pada malam lailatul qadar. [Surah al-Qadr ayat 1]"

****

Maka Sheikh Safiyurrahman Al-Mubarkfuri menyimpulkan bahawa hari yang paling menepati ciri2 yang disebutkan di atas (hari Isnin, 10 malam terakhir, dan malam ganjil) ialah pada malam ke-21 Ramadan.

Namun, ramai ahli sirah lain yang cenderung kepada malam ke-17. Justeru tidak kisahlah pada malam 17 atau 21, kita umat Islam disarankan untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadan ini. Tak usahlah bertikam lidah. Post ini hanyalah untuk pertambahan thaqafah (info) semata-mata. Wallahua'lam (^_~)

Aug 13, 2010

Ramadan Al-Mubarak



Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak

Bukan Ramadhan Al-Mubarak, bukan Ramadan Al-Mubarakh,
tetapi Ramadan Al-Mubarak (^_~)

Al-Mubarak bermaksud yang diberkati, yang dipenuhi berkat.
Berasal daripada perkataan (بارك) - (يبارك) - (مبارك)

Ramadan Kareem



Ramadan Kareem - رمضان كريم

(Ramadan Kareem jawabnya Allahu Akram - الله أكرم)

*Puasa membentuk taqwa - Jika perkara harus pun boleh ditinggalkan sepanjang siang hari bulan Ramadan, bagaimana pula dengan yang haram setelah berlalunya Ramadan*

Aug 12, 2010

Notes on Ramadan


► Anak2 bwh umur baligh tidak diwajibkan puasa.. Maka jangan dipaksa, kerana jika mereka curi2 makan dan tidak kantol, tanpa sedar kita hanyalah mendidik mereka menjadi penipu professional.. Sebaliknya wajibkan mereka solat fardhu seawal 7 tahun seperti mana yang diperintahkan oleh Nabi s.a.w, kerana orang yang menjaga solat 5 waktu TIDAK akan ponteng puasa..

► Keberkatan sahur bukan terletak semata2 pada makan, tetapi kepada hikmah 'mujahadatun nafsi' (perang melawan nafsu) bangun seawal sebelum subuh sebagai latihan bangun qiamullail selepas berlalunya bulan Ramadan nanti ~ Dr. Fatma

► Imsak 10min before subuh is overrated. Sunnah is eating as late as possible. You can finish what inside your mouth even after azan berkumandang~ (please note: your mouth, not your plate!)

► Niat adalah salah satu rukun puasa. Jadi berhati2, jangan sekali2 ada niat utk berbuka kerana ia membatalkan puasa mengikut sebahagian ulamak, walaupun belum mkn apa2 lg~ Namun bila disebut 'fiqh', semestinya ada khilaf di kalangan ulamak. Maka yang terbaik ialah keluar daripada khilaf = menjauhi perkara tersebut, sebagai langkah berjaga-jaga (للإحتياط)

► Bila Nabi s.a.w. kata Allah suka baru mulut orang yang berpuasa, tak bererti tak payah gosok gigi ye~ Gosok gigi di siang hari tidak makruh seperti mana yang disangka ramai, apatah lagi membatalkan puasa. Cuma elakkan berkumur2 secara berlebihan.

► Antara saat yg plg dimakbulkan doa = ketika berbuka puasa. So, take a sip of water / bite of kurma first (untuk dapat pahala sunnah mengawalkan berbuka) dan doalah bersungguh2, seperti mana kesungguhan kita bershopping pada Sogo Member's Sale Day ;)

► Tahukah anda, batal puasa dan wajib qada' jika makan kerana menyangka belum azan subuh tetapi sebenarnya sudah, atau menyangka sudah azan maghrib tetapi sebenarnya belum? Ia berbeza dengan terlupa yang dia sedang berpuasa (=tak sengaja), tetapi ini tersalah waktu = batal. Namun jangan risau, tidak berdosa, cuma perlu qada' sahaja.

► Sometimes hukum2 fikah in old kitabs need revision.. For instance, "Apabila seseorang itu mencurahkan air ke dalam telinganya dan sampai ke otaknya, batallah puasanya."

External ear is bounded by ear drum, and middle ear is bounded by oval n round window, and water won't reach brain [like, ever!] except for some cases of labyrinthitis where there's fistula formation.. So?

► Satu lg tugas para ustaz: Menerangkan dengan terperinci maksud 'batal puasa jika gila, walaupun sebentar'.. Gila jenis apa? Schizophrenia? Delusional? OCD? Paranoia? Bipolar? Ataupun sekadar seizures (epilepsy) sahaja? Jika seizures, jenis apa pula? Petit Mal? Grand Mal? Status Epilepticus?

► Terawih, berasal dari perkataan arab تراويح, bermaksud berehat2.. Solat perlu la rileks2, bukan kelam kabut nak cepat habis.. Adapun terawikh, tidak diketahui asal usulnya. Wallahua'lam ;p

► Kita sibuk bercakap tentang Islam mementingkan kualiti berbanding kuantiti, tapi masih ada lagi imam terawih yang membaca selaju mungkin hingga tunggang terbalik segala mad dan tajwidnya, semata2 kerana mengkhatamkan 30 juz sebulan?

********
رمضان كريم - جعلكم الله من العائدين والفائزين - امين

Aug 21, 2009

Puasa VS Diet ??


Bulan puasa tiba lagi.. Rasa seperti baru semalam berterawih pada malam hari dan bershopping bertadarus al-Quran pada siang harinya...

Bila tiba bulan Ramadhan, ramai yang memasang azam supaya Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan yang terdahulu.. Tidak kurang juga yang menyelitkan niat untuk 'diet', supaya baju raya yang sudah ditempah 2 bulan awal dapat disarungnya..

Jadi niat puasa sudah tidak 'pure' atau tidak 100% lagi kerana Allah.. Persoalannya, adakah benar puasa boleh dijadikan sebagai satu program diet yang tidak rasmi?

Secara perubatannya, diet yang berkesan untuk mengurangkan berat badan bukanlah dengan cara mengurangkan berapa kali makan dalam sehari; seperti yang kita semua lalui dalam bulan puasa.. Hanya 2 (atau 3) kali sahaja dalam sehari, i.e. sahur, berbuka (dan moreh bagi sesetengah orang).. Ada yang kerana ingin diet, mereka meninggalkan sahur dan hanya makan ketika berbuka puasa sahaja..

Badan kita mempunyai satu sistem, yang dinamakan Specific Dynamic Action (SDA), ditakrifkan sebagai 'kenaikan kadar metabolisme yang disebabkan oleh pengambilan makanan'.. Dalam erti kata lain, badan kita akan menghasilkan haba lebih sedikit daripada biasa setiap kali selepas makan dan berterusan sehingga 4-5 jam sebelum turun semula kepada normal..

SDA ini pula, berbeza mengikut jenis makanan yang diambil:-

-Protein menaikkan metabolisme badan sebanyak 30%
-Karbohidrat menaikkan metabolisme badan sebanyak 6%
-Lemak menaikkan metabolisme badan sebanyak 4%
-Campuran ketiga-tiga bahan ini menaikkan metabolisme badan sebanyak 10%

Bermakna, jika seseorang itu makan protein, badannya akan menghasilkan haba yang lebih banyak daripada jika dia memakan karbohidrat.. Sebab itulah mereka yang obese dinasihatkan untuk mengambil makanan yang berdasarkan protein, supaya kadar metabolisme mereka akan menjadi tinggi sedikit, seterusnya membantu mengurangkan berat badan mereka..

Maka jika seseorang itu ingin mengurangkan berat badan mereka, berpuasa bukanlah satu jalan yang paling efektif, sebaliknya mereka yang ingin mengurangkan berat badan dinasihatkan supaya makan dalam kuantiti yang sedikit, tetapi kerap (jika normal 3 kali sehari, jadikan 6 kali sehari). Tetapi,jangan sampai 6 kali sehari, tetapi kuantitinya banyak! Nanti lain pula jadinya..

Tambahan pula, jika seseorang itu membiasakan dirinya makan sekali atau dua kali sahaja sehari, sistem badannya akan perlahan-lahan bertukar kepada 'survival mode', di mana karbohidrat yang dimakan akan secara automatik disimpan sebagai lemak (bukan glukosa sepertimana biasa) kerana badan kita menyangka kita sedang berada dalam kebuluran.. Maka semakin sedikit bilangan kali kita makan dalam sehari, semakin banyaklah lemak yang 'diternak'.

****

Maka kali ini, saya ingin mengajak kepada diri saya dan juga para pembaca sekalian agar sama-sama membetulkan niat dalam menjalani ibadah puasa kita pada Ramadhan kali ini agar tidak bercampur-baur dengan niat yang lain.. Jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran..

Semoga kita sama-sama mendapat keredhaan Allah sepertimana yang telah dijanjikan.. Wallahua'lam

Sep 16, 2008

Peristiwa Nuzul al-Quran - 17 atau 21 Ramadhan?


Para ulamak berselisih pendapat dalam menentukan bulan yang diturunkan padanya al-Quran. Ada yang mengatakan bulan Rabiul Awwal, ada yang mengatakan Rejab, tetapi kebanyakannya mengatakan bahawa ianya diturunkan pada bulan Ramadhan, berdasarkan firman Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 185 di atas, dan juga surah al-Qadr ayat 1 yang bermaksud, "Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) pada malam lailatul qadr."

Ibnu Ishak mentarjihkan bahawa hari diturunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w. ialah hari ke-17 Ramadhan, tetapi sebahagian ulamak seperti Safiyurrahman Al-Mubarakfuri; pengarang kitab sirah masyhur ar-Raheeq al-Makhtum dan terbaru, Wa Innaka La'alaa Khuluqin 'Azim, mentarjihkan bahawa ianya pada hari ke-21 Ramadhan, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, ketika nabi ditanya mengenai hari Isnin, baginda menjawab, "Padanya aku dilahirkan, dan padanya diturunkan keatasku (al-Quran)."

Maka, hari Isnin pada bulan Ramadhan tahun kerasulan tidak jatuh kecuali pada hari ke-7, 14, 21 dan 28. Dan berdasarkan riwayat sahih bahawa lailatul qadr tidak jatuh melainkan pada malam-malam ganjil di 10 malam terakhir, maka hari Nuzul Quran yang paling sesuai dengan kriteria yang digariskan jatuh pada hari ke-21 Ramadhan.

Wallahu A'lamu Bis Sowaab.. (Allah lebih mengetahui tentang perkara yang sebenarnya)

Sep 7, 2008

Post Khas bulan Ramadhan...


Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, ramai yang menghadapi masalah dalam menentukan hukum sesuatu masalah yang berkaitan dengan bidang perubatan, seperti adakah hukum menggunakan ubat titik mata, titik telinga, memakai contact lenses, menjalani prosedur perubatan seperti catheterization, Laparoscope, Uteroscope, biopsi, inhaler utk semput dan sebagainya..

Oleh itu saya mengesyorkan para pembaca sekalian untuk merujuk sebuah blog milik sahabat lama saya, seorang pelajar perubatan di Univ Cyberjaya di alamat http://fiqhmedic.wordpress.com

Anda juga boleh merujuk pos lama saya berkenaan Panduan Ringkas Sepanjang Bulan Ramadhan di sini.

Selamat menjalani ibadah puasa...
(^_^)

Sep 3, 2008

Ramadhan oh Ramadhan

Setelah meninggalkan kita selama 11 bulan, membiarkan kita dalam keadaan alpa dengan noda dan dosa, Ramadhan kini datang lagi... Kali ini membawa ujian yang lebih mencabar lagi apabila umat Islam di Mesir menjalankan ibadah mulia ini di dalam musim panas... Tetapi inilah hakikat sebenar yang dibawa oleh Ramadhan; yang secara literalnya membawa maksud 'membakar' atau 'terlalu panas', menggambarkan pengorbanan yang perlu dilakukan oleh umat Islam dalam mendidik jiwa dan mengawal nafsu sepanjang hari di dalam bulan Ramadhan tanpa boleh makan, minum dan melakukan perkara-perkara yang dilarang.

Di sebalik lapar dan dahaga yang perlu dilalui oleh umat Islam sepanjang bulan kesembilan dalam kalendar hijrah ini, Ramadhan hakikatnya menyediakan satu madrasah tarbawiyah kepada umat Islam untuk melahirkan generasi yang berdisiplin dan mempunyai ketahanan diri yang kuat, disamping jiwa yang halus melalui program yang disediakan oleh Allah di dalam bulan mulia ini.

Umat Islam dilatih untuk menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang ketika berpuasa, seperti makan dan minum, memandang kepada perkara-perkara yang tidak elok, bercakap-cakap kosong dan mengumpat, sebagai persediaan untuk menghadapi 11 bulan berikutnya sebelum bermulanya proses latihan yang sama pada tahun hadapan.

Namun, penat lelah dan lapar dahaga umat Islam digantikan oleh Allah dengan tawaran istimewa pada bulan ini, ketika mana setiap amal kebaikan dilipatgandakan berbanding amalan yang dilakukan pada bulan-bulan sebelumnya. Maka umat Islam yang cerdik perlulah mengambil peluang ini untuk beramal semaksimum mungkin, agar segala pengorbanan yang dilakukan diimbangi dengan keuntungan yang berlipat ganda.

Bulan ini dianggap istimewa juga kerana mukjizat teragung Nabi Muhammad s.a.w. diturunkan pada bulan ini, berdasarkan firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud, "Bulan Ramadan ialah bulan di mana diturunkan Al-Quran padanya; menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah."

Satu lagi agenda penting yang hanya berlaku di dalam bulan Ramadhan sahaja ialah malam lailatul qadar; malam yang disifatkan oleh Allah di dalam surah al-Qadr sebagai lebih baik daripada seribu bulan.

Umat Nabi Muhammad s.a.w. yang rata-ratanya mempunyai umur yang singkat berbanding umat-umat terdahulu tidak sepatutnya melepaskan peluang keemasan ini, kerana mereka yang diberi anugerah oleh Allah untuk membangunkan malam ini akan diberi ganjaran seolah-olah dia telah hidup 1000 bulan, atau 83 tahun 4 bulan dalam ibadah. Ini sudah cukup untung! Beribadat semalaman pada malam ini sahaja sudah melebihi ibadat sepanjang hayatnya.

Andaikata jika peluang ini berjaya direbut oleh seseorang itu sekali setahun selama 30 tahun sepanjang hidupnya, dia ibarat hidup kira-kira 2500 tahun dalam ibadat! Inilah keuntungan beribadah di dalam Islam.

Satu lagi amalan yang tidak masyhur di kalangan kita pada hari ini ialah memberi makan kepada orang yang berbuka puasa. Nabi bersabda, “Siapa yang menyediakan makanan berbuka untuk orang puasa, dia akan dapat seperti pahalanya tanpa dikurangkan pahalanya sedikitpun.” (HR al-Tirmizi, Kitab al-Saum, No. 735)

Akhirnya, semoga Ramadhan kali ini tidak berlalu begitu sahaja, seperti mana Ramadhan-ramadhan kita yang lalu, yang sering kita kesalkan. Semoga Allah menjadikan kita muslim yang mukmin bertitik tolak dari Ramadhan kali ini. Wallahua’lam.


Feb 13, 2008

Panduan Ringkas Bulan Ramadhan...

Perkara-perkara yang Membatalkan Puasa

1) Makan dan minum dengan sengaja. Jika terlupa atau tersalah atau dipaksa, tidak batal puasanya.

2) Muntah dengan sengaja, seperti menjolok jarinya ke tekak untuk mengeluarkan sesuatu. Jika termuntah, tidak batal puasanya.

3) Keluar haid atau nifas atau melahirkan anak, walaupun sebentar sebelum terbenam matahari.

4) Onani (mengeluarkan mani dengan sengaja) sama ada dengan tangannya, atau isterinya, atau orang lain, atau memeluk isterinya dengan syahwat. Jika keluar mani hanya kerana terpandang atau terfikir sesuatu yang mengghairahkan, maka hukumnya sama dengan mimpi basah di siang hari, i.e. tidak batal puasanya dan tidak wajib qadak. Begitu juga dengan keluar air mazi, tidak batal puasanya.

5) Memasukkan sesuatu ke dalam perut melalui rongga yang terbuka. Tidak batal memasukkan sesuatu ke dalam perut melalui rongga yg tertutup seperti mata (memakai celak atau menitik ubat pada mata) dan sebagainya. Tidak batal juga memasukkan sesuatu melalui rongga terbuka jika tidak sampai ke dalam perut, seperti mengorek hidung atau mengorek telinga atau menitik ubat telinga.

6) Berniat untuk berbuka puasa, walaupun tidak makan apa2.

7) Makan, minum atau berjimak kerana menyangka bahawa telah terbenam matahari (masuk waktu Maghrib), tetapi sebenarnya belum. Atau belum terbit matahari (masuk waktu Subuh), tetapi sebenarnya sudah. Ini adalah pandangan jumhur.

8) Berjimak dengan sengaja.

9) Murtad.

10) Gila, walaupun sebentar.

11) Makan atau minum ketika azan subuh dilaungkan. Ramai menyangka masih boleh makan dan minum ketika azan dilaungkan sehinggalah tamat azan. Ini adalah pandangan yang salah, kerana muazzin tidak disyariatkan untuk azan sehinggalah terbit fajar. Sesiapa yang meneruskan makan atau minum selepas muazzin mula melaungkan azan, maka batal puasanya dan wajib qadak.

++++++++++++++++

Perkara-perkara yang TIDAK Membatalkan Puasa

1) Mandi atau membasahkan kepala untuk menyegarkan badan atau menghilangkan kepanasan dan dahaga. Jika tertelan air secara tidak sengaja, tidak batal puasanya.

2) Memakai celak, walaupun celak tersebut memasuki matanya, kerana mata bukan rongga terbuka yg menyampaikan bahan tersebut ke dalam perut.

3) Berkucupan sesama suami isteri, jika masih boleh mengawal diri daripada melakukan jimak.

4) Semua jenis suntikan, sama ada IV atau IM, kecuali Parenteral Nutrition (Fluid therapy)

5) Berbekam.

6) Berkumur-kumur dan memasukkan air melalui hidung ketika berwudhuk. Tetapi makruh jika dilakukan secara berlebih-lebihan.

7) Merasa makanan ketika memasak atau ketika ingin membeli makanan tersebut, selagi mana makanan tersebut tidak sampai ke halkum.

8) Menghidu bau-bauan.

9) Makan, minum atau berjimak pada malam hari sehinggalah terbit fajar (masuk waktu Subuh). Jika di dalam mulutnya terdapat makanan ketika azan subuh mula dilaungkan, wajib baginya mengeluarkan kembali makanan tersebut. Jika sengaja menelannya, maka batal puasanya. Begitu juga dengan jimak. Wajib berhenti ketika azan subuh mula dilaungkan. Jika dia menyambungnya, batal puasanya.

10) Bangun pagi dalam keadaan berjunub (hadas besar).

11) Menelan air liur yg bersih dan tidak bercapur dengan bahan lain, dengan syarat air liur tersebut masih berada di dalam kawasan tubuh badannya. Jika dikumpul di dalam bekas lalu diminumnya, batal puasanya.

12) Menggosok gigi. Harus melakukannya pada setiap waktu ketika berpuasa. Mengenai pendapat yang memakruhkan menggosok gigi selepas gelincir matahari, hadis tersebut sangatlah lemah (dhaif jiddan).

13) Tablet nitroglycerin dan yang seumpama dengannya yang diletakkan di bawah lidah (sublingual). Biasanya digunakan untuk merawat sakit jantung.

14) Semua bentuk rawatan yang melibatkan kemasukan benda atau ubat ke dalam faraj seperti vaginal suppository, pencucian (doush), vaginoscope atau tangan doktor yang memeriksa pesakit (digital examination).

15) Semua bentuk tiub atau bahan yang dimasukkan ke dalam badan melalui saluran kencing seperti urethroscope, barium, pencuci urethra.

16) Tampal gigi atau cuci gigi selagi mana tidak masuk ke dalam halkum (ditelan).

17) Pendermaan darah atau menerima darah.

18) Bantuan oksigen atau gas pelali (anesthetic gases).

19) Semua jenis krim atau minyak yang disapu pada kulit walaupun dibekalkan dengan bahan kimia yang terserap ke dalam kulit.

20) Ambil darah untuk ujian makmal.

21) Semua jenis salur yang dimasukan ke dalam salur darah untuk tujuan x-ray pada jantung atau mana-mana pada anggota badan (catheterization)

22) Laparoscope yang dimasukan ke dalam abdomen untuk tujuan pembedahan.

23) Semua jenis ubat kumur, seperti mouth-rinsing gargle, penyembur mulut selagi mana tidak masuk ke dalam halkum.

24) Uteroscope atau IUCD (pencegah hamil) yang dimasukan ke dalam rahim.

25) Sampel organ yang diambil dari badan seperti hati atau dari mana-mana anggota badan (biopsy).

26) Ubat asthma (inhaler).

27) Semua jenis ubat yang dimasukan melalui anus (dubur).

28) Pembedahan yang menggunakan pelali seluruh badan (general anesthesia) yang dijalankan pada siang hari setelah pesakit mula berpuasa sejak malam sebelum pembedahan.

29) Suntikan untuk merawat sakit buah pinggang melalui artificial kidney (dialysis) samada peritoneal atau hemodialysis

30) Memasukkan gastroscope ke dalam perut dengan syarat tiada sebarang cecair atau apa-apa bahan rawatan disalurkan.

Rujukan:
-Fiqh As-Sunnah, Sayyid Sabiq
-At-Taqriirat As-Sadiidah Fi Al-Masaili Al-Mufidah
-Ibadah Pesakit Terbitan PERUBATAN Mesir



Salam Ramadhan Al-Mubarak... (",)